suAtu ceRita...
Friday, December 24, 2010
Mengapa Namewee diberi layanan Istimewa?
Nama Wee Meng Chee atau Namewee (gambar) sudah cukup popular di negara ini sebagai seorang ‘pelakon’ yang begitu berani mengguris perasaan orang Melayu dan Islam. Kalaulah ada anugerah, beliau dengan mudah boleh menang sebagai pelakon terbaik untuk kategori mempermainkan bangsa Melayu dan menghina agama Islam.
Apa istimewanya beliau? Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat setelah beberapa kali mencetuskan kemarahan umat Islam, Namewee bukan sahaja tidak didakwa dan seolah-olah mempunyai imuniti, malah dijadikan ikon.
Pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-bari ini di bangunan Parlimen dengan berpakaian ala rap (baju T, seluar jean, jaket hitam serta penutup kepala) mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang banyak pihak. Berbagai persoalan telah dilontarkan oleh berbagai-bagai pihak, untuk apa pula seorang menteri mahu memberi perhatian luar biasa dan bantuan kepada seorang yang boleh menggugat keharmonian negara? Namewee berjumpa menteri ini bagi meminta bantuan kerajaan membiayai pembikinan video 1Malaysia.
Ramai lagi siswazah menganggur seperti Namewee ini yang terdiri daripada semua kaum dan anak muda yang lebih kreatif dalam bidang seni, yang wajar diberi perhatian dan pembelaan, bukannya si pemuda yang telah mempermainkan orang Melayu dan Islam ini. Kita bukan hendak berbalah dengan menteri ini. Malah kita akui, beliau seorang yang mempunyai karisma serta kekuatan sendiri. Memang hak beliau untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja rakyat yang ingin mengadu hal. Tetapi dari segi prinsipnya, tindakan beliau dilihat kurang sesuai dengan suasana keresahan umat Islam dan orang Melayu terhadap pemuda ini. Suara majoriti rakyat tidak boleh diambil mudah.
Masyarakat juga ada hak untuk bertanya kepada menteri ini, apakah kelayakan seni, kepakaran atau sumbangan Namewee kepada negara sehingga mendapat layanan istimewa itu daripada seorang menteri? Masyarakat juga bukan tidak nampak, pemuda ini tidak mengikut etika berpakaian di Parlimen.
Sebagai menteri, beliau wajar meletakkan dirinya di tempat yang sepatutnya kerana tindakan menteri ini tidak kena pada tempatnya. Tindakan menteri ini juga boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat apabila orang yang mencemuh, menghina, mengutuk kerajaan dan negara diberi layanan yang begitu istimewa.
Sebenarnya, ramai lagi yang berkebolehan, layak, berkemahiran serta telah berbakti kepada negara boleh membantu Perdana Menteri dalam memupuk konsep 1 Malaysia di negara ini. Bukannya hanya Namewee seorang sahaja yang dijulang dan mendapat layanan VIP daripada seorang menteri.
Sepatutnya, menteri ini membawa Namewee ke arah yang lebih bermotivasi seperti membantu anak muda ini berfikiran lebih rasional dan menanam semangat nasionalisme yang tinggi sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan menanamkan tingkah laku terpuji bukan membiarkan bertatasusila kurang sopan kepada masyarakat majoriti negara ini.
Wajar juga, isu Namewee ini dijadikan ikhtibar dan kajian untuk para pemimpin melihat semula, sama ada wujud kesilapan dalam sistem pendidikan khususnya yang berkaitan aspek nasionalisme. Kita perlu mendidik warganegara generasi muda yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi, bukan warganegara seperti ‘Namewee’ ini.
* Penulis ialah Setiausaha Kehormat Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS).
Sinar Harian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment